Wanita terjun kereta selamatkan diri daripada penjenayah - Utusan Malaysia

Wanita terjun kereta selamatkan diri daripada penjenayah

GEORGE ABD. RAKMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Wanita berusia 60 tahun nekad terjun dari kenderaan yang sedang bergerak bagi menyelamatkan diri daripada dua penjenayah yang menyamun dan melarikan kenderaannya.

Mangsa dilarikan bersama kenderaannya dari Cyber City sehingga ke Papar oleh dua lelaki yang bertindak masuk ke dalam kereta dinaiki mangsa dalam kejadian pada 7.30 malam berhampiran pasar mini 99 pada Jumat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, sebaik sahaja mangsa selesai membeli barangan dan menaiki kenderaan, seorang lelaki tiba-tiba menerpa masuk ke dalam keretanya dari pintu penumpang belakang.

Kemudian, lelaki itu mengarahkan mangsa berpindah ke tempat duduk belakang sebelum seorang lagi lelaki meluru masuk ke tempat duduk pemandu dan terus memandu kereta mangsa.

Katanya, semasa berada di dalam kenderaan, mangsa dipaksa menunduk sepanjang jalan sehingga mangsa tidak tahu lokasi perjalanan mereka. Suspek turut mengarahkan mangsa untuk menyerahkan wang tunai dan barang kemas yang dipakainya.

“Mangsa yang bimbang keselamatannya terpaksa menyerahkan semua barangan berharga kepada suspek.

“Mangsa mendakwa, selepas kira-kira sejam perjalanan, dia merayu supaya dibenarkan duduk kerana belakangnya sakit,” katanya dalam kenyataan media dekat sini semalam.

George berkata, sebaik sahaja dibenarkan duduk, mangsa mengambil keputusan untuk membuka pintu sebelum terjun keluar daripada kenderaannya.

Mangsa kemudiannya diselamatkan orang ramai di lokasi berhampiran daerah Papar sebelum dibawa membuat laporan di balai polis berhampiran.

Katanya, mangsa tidak mengalami kecederaan dan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM17,000.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/397A Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam jenayah samun secara berkumpulan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmar Zulfairie Ismail di talian 013-2618487. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya