GEORGETOWN: Wanita maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 18 rumahnya di Blok 11, Kondominium Bukit Awana, Ayer Itam, di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa wanita berusia 30-an berkenaan ditemukan terdampar di bahagian bumbung bilik panel suis milik Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di tingkat satu kondominium tersebut.
Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 12.43 tengah malam dan tiba di lokasi kejadian kurang lima minit kemudian.
“Sebaik sahaja tiba, anggota bomba mendapati seorang wanita tidak sedarkan diri di atas bumbung bilik panel suis TNB selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 18 dan membawanya turun menggunakan tangga dari jentera penyelamat.
“Pemeriksaan pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong yang diketuai Komander Mohd. Sarmizi Jusoh itu tamat sepenuhnya pukul 2.27 pagi tadi. – UTUSAN ONLINE