GEORGETOWN: Misteri kematian seorang wanita yang mayatnya ditemukan di atas bumbung bilik panel suis elektrik di Kondominium Bukit Awana, Ayer Itam di sini semalam, terbongkar selepas suaminya mengaku menolak mangsa dari tingkap ruang tamu di aras 18 rumah mereka.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.06 malam itu, mayat S. Primila, 35, yang bekerja sebagai ejen insurans dijumpai orang awam dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menahan suami mangsa berusia 35 tahun di lokasi kejadian selepas setengah jam kejadian berlaku.
Katanya, hasil soal siasat ke atas suaminya yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan mengaku bertindak menolak mangsa setelah berlaku pergaduhan.
“Suspek (suami) mangsa turut berada di lokasi kejadian ketika itu. Hasil siasatan lanjut, dia mengaku menolak isterinya dari tingkap ruang tamu tingkat 18 kediaman mereka.
“Punca pergaduhan disebabkan suspek curiga si mati ada menjalinkan hubungan dengan lelaki lain,” katanya di sini hari ini.
Soffian memberitahu, hasil tangkapan ke atas suspek turut merampas dua unit telefon bimbit dan satu botol mengandungi ketulan kristal serta plastik lutsinar berisi daun kering dipercayai dadah.
“Suspek yang didapati positif ganja kini ditahan reman enam hari sehingga 15 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE