Wakil rakyat perlu main peranan yakinkan rakyat daftar terima vaksin - Utusan Malaysia

Wakil rakyat perlu main peranan yakinkan rakyat daftar terima vaksin

CHOW Kon Yeow ketika meninjau kempen kesedaran vaksin Covid-19 anjuran MPKK Padang Kota di Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Wakil rakyat di negeri ini digesa memainkan peranan dengan menjalankan kempen serta program bersesuaian bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana kadar peningkatan jumlah pendaftaran vaksin Covid-19 di negeri ini hanya sekitar kurang satu peratus setiap hari berbanding apa yang disasarkan oleh kerajaan negeri.

“Jumlah pendaftaran penerima vaksin Covid-19 tidak sampai satu peratus setiap hari atau kurang daripada itu.

“Kita mesti ikhtiar bagi tangani isu ini, saya berharap wakil rakyat boleh bersama-sama membantu dengan adakan kempen kesedaran kepada rakyat di kawasan masing-masing agar mereka menerima vaksin Covid-19,” katanya selepas meninjau kempen kesedaran vaksin Covid-19 di sini hari ini.

Setakat 21 April lalu, statistik daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKAV) menunjukkan seramai 633,212 penduduk negeri ini iaitu kira-kira 45.7 peratus mendaftar bagi menerima vaksin Covid-19.

Kerajaan negeri menyasarkan 70 peratus atau 1.34 juta penduduk menerima vaksin Covid-19 bagi mewujudkan imuniti kompleks untuk mengekang penularan wabak berkenaan.

Menurut Kon Yeow, pada masa ini, orang ramai tidak mempunyai pilihan lain bagi menangani pandemik Covid-19 dan vaksin merupakan langkah utama bagi mengekang penularan wabak itu.

“Seluruh dunia tidak ada jawapan atau penyelesaian selain daripada mengambil vaksin dan juga melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pelaksanaan PICK bagi fasa kedua di negeri itu juga dijangka lewat daripada perancangan asal memandangkan setakat ini, hanya lima daripada 10 pusat vaksin dibuka.

“Ketika taklimat sebelum ini, kerajaan negeri dimaklumkan setiap hari sekurang-kurangnya 7,500 orang akan menerima vaksin di 10 pusat vaksin.

”Tetapi pada masa ini hanya lima pusat vaksin dibuka dengan penerima sekitar 2,000 orang setiap hari sahaja, mungkin faktor bekalan vaksin menjadi punca perkara ini berlaku,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap perkara itu dapat diatasi oleh Kerajaan Pusat bagi memastikan pelaksanaan PICK di Pulau Pinang berjalan mengikut jadual dan lebih ramai rakyat menerima vaksin Covid-19. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN