Wajarkah JKKR wujud di semua rancangan Felda? - Utusan Malaysia

Wajarkah JKKR wujud di semua rancangan Felda?

IDRIS SHAH MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Cadangan Felda untuk mewujudkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) di 317 tanah rancangan tahun ini menimbulkan polemik baharu dalam kalangan warganya.

Ini kerana kebanyakan tanah rancangan sudah menyelesaikan hutang bayaran pembangunan dan mendapat suratan hak milik tanah serta telah pun menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Ketua Kampung Felda Hulu Jempol, Idris Shah Musa, 69, melihat cadangan itu secara positif kerana JKKR lebih menyeluruh membabitkan ketua-ketua blok.

“Ini berbeza dengan JKKK yang hanya membabitkan ketua kampung dan 15 orang jawatankuasa yang mengurus tadbir pelbagai perkara di rancangan Felda,” katanya di sini semalam.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dalam siri lawatan ke Felda Wilayah Mempaga dan Jengka telah mengumumkan penubuhan JKKR di samping badan pengurusan tertinggi JKKK di peringkat kampung.

Ketua Kampung Felda Jengka 6, Saharuddin Lela, 63, berkata, penduduk tanah rancangan itu akur apa sahaja keputusan yang diambil kerajaan Pahang di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menangani perkara tersebut dengan bijaksana.

Ini kerana ujarnya, penubuhan kembali JKKR di tanah rancangan yang sudah pun mempunyai JKKK mungkin menimbulkan konflik di rancangan Felda.

Ketua Kampung Felda Jengka 7, Ahmad Zubir, 63, pula berkata, penubuhan kembali JKKR di samping JKKK bagi mentadbir kampung akan mewujudkan pertentangan pendapat seperti ‘kapal dua nakhoda’.

“Tiada jaminan pengurusan dan pentadbiran kampung dalam rancangan lebih baik walaupun memiliki dua badan tertinggi di peringkat rancangan,” katanya.

Bekas Naib Pengerusi Gabungan JKKR Felda Wilayah Jengka selama 14 tahun, Abd. Hamid Shafie, 65, berpendapat, mewujudkan kembali JKKR di semua rancangan perlu dikaji semula kerana jika tersalah langkah, boleh menyebabkan perselisihan berpanjangan dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, jika JKKR ditubuhkan di semua rancangan Felda di seluruh negara, pemilihan Naib Pengerusi perlu dipilih sendiri peneroka melalui pilihan raya mengikut blok yang diamalkan Felda sebelum ini.

Ketua Kampung Felda Chemomoi, Abd. Ghani Taib, 65, menyifatkan cadangan penubuhan JKKR itu hanya cantik di atas kertas berikutan dua badan JKKK dan JKKR bersaing sesama sendiri.

“Ada jaminankah dua badan tertinggi di rancangan Felda dapat bermuafakat dalam pentadbiran kecuali jika ketuanya daripada kedua-dua badan itu orang yang sama,” soalnya.

Ketua Kampung Felda Kemasul, Rosslan Alias, 67, turut bimbang sekiranya JKKK dan JKKR bertembung pengaruh dan kepentingan sesama sendiri.

Menurutnya, timbul tanda tanya siapakah ‘abang long’ yang perlu dirujuk jika memerlukan sokongan atau dirujuk oleh agensi kerajaan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN