KUANTAN: Kerajaan Pusat sewajarnya turut memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang.
Ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan dewan tertinggi itu boleh bersidang semasa tempoh darurat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sudah tiba masanya sidang Parlimen dan DUN diadakan supaya demokrasi dikembalikan ke tempat asalnya.
Menurut beliau, jika terus ditangguhkan, segala urusan pentadbiran menjadi tergendala dan darurat menjadi penghalang kepada proses semak serta imbang.
“Jika anak-anak kecil di sekolah rendah yang sukar memahami dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pun sudah kembali bersekolah, wakil rakyat yang pastinya faham SOP ditetapkan seharusnya kembali bersidang di Parlimen dan DUN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Sharkar berkata, Covid-19 sudah berada dalam masyarakat dan kita tidak dapat lari daripada wabak tersebut.
Cuma jelasnya, pendekatan yang terbaik perlu dilaksanakan dan diamalkan bagi memastikan kita tidak dijangkiti wabak berkenaan.
“Sampai bila kita mahu lari dan mengehadkan segala aktiviti disebabkan Covid-19? Wabak ini bukan baharu kerana telah lebih setahun menular di negara ini dengan keluk jangkitannya turun dan naik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan keputusan UMNO memohon nasihat MKN berhubung SOP dan garis panduan bagi melaksanakan pemilihan parti adalah tepat dan sesuai dengan situasi wabak ketika ini.
Menurutnya, MKN pastinya mempunyai nasihat dan SOP terbaik bagi memastikan pemilihan yang melibatkan 3.3 juta ahli UMNO itu dapat dilaksanakan walaupun dalam suasana kebiasaan baharu.
Kelmarin, UMNO membuat keputusan pemilihan parti itu akan diadakan dan memohon MKN memberikan nasihat dan garis panduan SOP Covid-19 bagi melaksanakannya.