PETALING JAYA: Lima lagi individu termasuk pengarah, penyanyi dan komposer yang terlibat dalam dua iklan lagu raya mempromosi aktiviti perjudian ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati lima suspek termasuk pengarah itu dipercayai mendapat arahan daripada sindiket perjudian dalam talian untuk menerbitkan video terbabit.
“Penahanan kesemua mereka dibuat di sekitar ibu negara dan Selangor. Tangkapan ini menjadikan mereka yang ditahan setakat ini adalah sebanyak 18 orang.
“Kelima-lima suspek ditahan reman hari ini. Siasatan masih diteruskan bagi menjejaki sindiket judi atas talian terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, 13 tangkapan dibuat melibatkan pelakon, penerbit dan kru penerbitan pembikinan video iklan lagu raya mempromosi kegiatan judi itu dengan sembilan tangkapan bagi kes pertama manakala empat tangkapan bagi kes kedua.
Ini susulan tular video iklan lagu raya yang mempromosikan kegiatan judi dalam video sosial, minggu lalu.
Rakaman video lagu raya berkenaan memaparkan aksi lakonan serta nyanyian oleh seorang lelaki dan seorang wanita yang mempromosikan satu permainan judi.
Video kedua tular selepas video pertama yang juga menggunakan modus operandi yang sama bagi menarik pelanggan dalam kalangan umat Islam.- UTUSAN ONLINE