PETALING JAYA: Dua individu ditahan dipercayai pembayar upah kepada pelakon dua video mempromosikan iklan perjudian dalam talian yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Kedua-dua lelaki berusia 31 dan 34 tahun itu ditahan di sekitar Puchong dan Cheras kira-kira pukul 12 tengah malam hingga 3.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua individu itu bertindak sebagai pembayar upah kepada pelakon video judi terbabit.
“Kita akan mendapatkan permohonan reman terhadap mereka hari ini. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti produksi terbabit.
“Ini kerana kedua-dua video berkenaan dihasilkan oleh dua produksi berbeza,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad Zainal berkata, setakat ini, seramai lima individu ditahan termasuk tiga suspek berperanan sebagai pelakon serta direman tiga hari hingga esok untuk siasatan lanjut.
Ujarnya, kesemua pelakon dipercayai menerima bayaran RM200.
“Setakat ini, polis menahan 25 individu termasuk penerbit, pelakon dan kru produksi bagi membantu siasatan pembikinan empat video mempromosikan judi dalam talian yang tular menerusi laman sosial.
“Daripada jumlah itu, seramai 13 individu ditahan berkaitan video pertama manakala enam orang untuk video kedua, video ketiga (4) dan video keempat (2),” ujarnya.
Tambah Mohamad Zainal, selain itu, 12 individu masih dalam tahanan reman manakala 13 lagi sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kesemua tangkapan itu bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung video tersebut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya.
Semalam, tular dalam media sosial dua lagi video iklan lagu raya berdurasi 48 saat dan 30 saat yang mempromosikan kegiatan judi.
Terdahulu, satu video yang tular berdurasi dua minit satu saat yang didapati mempromosikan judi dalam talian sempena hari raya Aidilfitri sebelum tular video kedua video kedua yang menggunakan modus operandi sama.
Rakaman video lagu raya berkenaan memaparkan aksi lakonan serta nyanyian yang mempromosikan permainan judi secara dalam talian.
Susulan itu, beberapa tangkapan dijalankan termasuk pengarah dan kru pembikinan video berkenaan. – UTUSAN ONLINE