Vaksin Pahang: Fasa kedua warga emas dan pesakit kronik selesai sebelum Aidilfitri - Utusan Malaysia

Vaksin Pahang: Fasa kedua warga emas dan pesakit kronik selesai sebelum Aidilfitri

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) berbual bersama seorang penerima vaksin yang berusia 60 tahun ke atas di Wisma Belia Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri menjangkakan program imuninasi Covid-19 fasa kedua melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan berpenyakit kronik membabitkan 360,000 orang dijangka selesai sebelum sambutan Aidilfitri bulan depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 1,820 orang telah menerima suntikan dos pertama seperti mana janji temu yang diberi menerusi Aplikasi MySejahtera di seluruh negeri ini.

“Alhamdulillah, ia merupakan perkembangan yang baik melihatkan ada di antara mereka yang mempunyai kesedaran. Kita berharap semua pihak memainkan peranan untuk mendaftar agar mereka dapat menerima suntikan vaksin.

“Kita bimbang akhir-akhir ini berlaku peningkatan wabak bukan sahaja di Pahang, tetapi, di seluruh negara. Kalau rakyat cepat berdaftar, suntikan dapat disegerakan, sekali gus, dapat mengurangkan kadar kebolehjangkitan,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan ke Program Imunisasi Covid-19 (Fasa 2) Peringkat Negeri Pahang di Wisma Belia, Indera Mahkota di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Wan Rosdy meminta agar lebih rakyat di negeri ini berdaftar untuk divaksinasi berikutan bilangan pendaftaran masih lagi rendah jika dibandingkan jumlah penduduk Pahang seramai 1.67 juta orang.

Katanya, kerajaan negeri turut menyasarkan 80 peratus daripada jumlah penduduk berdaftar dan berjaya divaksin menjelang Februari tahun depan sebagai usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

“Secara keseluruhan, setakat ini, rekod menunjukkan hanya 25 peratus individu berdaftar menerusi Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) dan 32.8 peratus yang berdaftar menerusi MySejahtera.

“Dengan itu, kempen vaksinasi Covid-19 perlu diperhebatkan agar pemahaman rakyat lebih efektif dan ramai berpeluang untuk berdaftar.

“Faktor geografi membabitkan jarak jauh membuatkan rakyat bersikap tunggu antara punca pendaftaran vaksin masih tidak memberansangkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya