PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan vaksin kontroversi AstraZeneca adalah selamat digunakan termasuk imunisasi kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pengesahan itu turut diperakui panel pakar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksinasi (JKJAV) yang bermesyuarat baru-baru ini.
“Saya dengan ini mengesahkan AstraZeneca sebagai selamat dan berkesan, malahan kita (Kementerian Kesihatan) akan guna untuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan majlis sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 di kementerian tersebut di sini hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa vaksin keluaran firma farmaseutikal berpusat di England itu bakal digunakan dalam fasa kedua yang sudah bermula pada minggu lepas.
Ia melibatkan sasaran 9.4 juta penerima berusia lebih 60 tahun selain yang ada penyakit dan orang kurang upaya sebelum vaksin itu digunakan pula pada fasa ketiga mulai bulan depan.
“Untuk permulaan, kita akan guna bekalan 280,000 dos vaksin itu yang telah pun selamat tiba di Malaysia baru-baru ini, sekali dengan pelbagai vaksin daripada jenis lain,” tambah Adham.
Ini ujarnya, termasuk CoronaVac keluaran firma biofarmaseutikal China, Sinovac Biotech yang sudah pun menerima kelulusan Agensi Regulatori Farmaseutikal Nasional di kementerian itu.
Perkara itu juga disahkan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut Kesihatan Negara, Dr. Kalairasu Periasamy yang memaklumkan AstraZeneca diperakui adalah selamat digunakan.
Tambahnya, JKJAV yang turut mempunyai 22 pakar pelbagai disiplin sudah meneliti pelbagai data kajian dari luar negara dan merumuskan vaksin itu sesuai untuk semua peringkat usia.
“Mereka juga menilai laporan Agensi Perubatan Eropah (EMA) di bawah Kesatuan Eropah (EU) berpusat di Belanda serta Agensi Regulatori Perubatan dan Kesihatan (MHRA) Britain.
“Hasilnya panel ini berpuas hati keberkesanan AstraZeneca apatah lagi jutaan individu sudah terima tanpa masalah berbanding kes terpencil pembekuan darah jarang berlaku,” katanya.
Kajian panel pakar itu kata Kalairasu, turut mendapati ia sesuai untuk penerima berumur 18 tahun ke atas serta selaras perakuan oleh EMA dan MHRA yang diluluskan pada 7 April lepas.- UTUSAN ONLINE