UTHM hasilkan inovasi baharu produk buluh berasaskan serat - Utusan Malaysia

UTHM hasilkan inovasi baharu produk buluh berasaskan serat

MOHD. Khairuddin Aman Razali (dua kanan) bersama Wahid Razzaly (kanan) mendengar penerangan daripada kumpulan penyelidik BambooRC daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan UTHM ketika berkunjung ke kampus itu di Pagoh, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mampu menjadi salah satu pusat pemprosesan serat terbaik di negara ini.

Keyakinan itu berikutan kejayaan Pusat Penyelidikan Buluh (BambooRC), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) yang berjaya menghasilkan inovasi baharu produk buluh berasaskan serat.

Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Wahid Razzaly berkata, inisiatif diambil para penyelidik BambooRC itu bertujuan memajukan teknologi buluh sekali gus mempelbagaikan lagi aplikasi produk daripada serat bagi membuka peluang baharu sumber alternatif komoditi di Malaysia.

“UTHM memberi penekanan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan produk hiliran serat bagi menjamin kelestarian keluaran ladang kerana hasil akhir produk ini mampu memberi pulangan ekonomi yang lebih tinggi berbanding serat mentah.

“Bagi menjayakan misi ini, UTHM turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) serta institusi penyelidikan dan pemain industri buluh tempatan yang lain,” katanya di sini, hari ini.

Wahid berkata, UTHM juga telah menganjurkan Persidangan Industri Buluh Kebangsaan yang bertemakan ‘Memperkasa Teknologi dan Inovasi Buluh Negara’ pada 30 Mac lalu bagi membuktikan bahawa hubungan kepakaran telah terbentuk antara UTHM dengan pemegang taruh industri itu, khususnya bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Selaras dengan objektif persidangan, rancangan lima tahun pelan strategik pembangunan ekosistem pengeluaran serat buluh bagi universiti ini bermula dari sektor perladangan buluh seluas hampir satu hektar, sehingga penghasilan produk hiliran daripada aplikasi serat buluh seperti penebat bunyi dan haba, penapisan, produk landskap, bahan binaan bangunan, geotextile dan produk tekstil.

“Persidangan yang diadakan di UTHM kampus cawangan Pagoh itu telah disempurnakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

“Menurut menteri, memandangkan potensi tanaman komoditi ini bernilai tinggi, buluh telah diluluskan sebagai salah satu spesies di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi kawasan empat hektar dan ke atas,” katanya.

Menurut Wahid, Mohd. Khairuddin turut mengumumkan kementerian melalui MTIB telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk pelaksanaan Program Komuniti Agrikomoditi Buluh.

“Program ini akan dilaksanakan untuk tempoh lima tahun iaitu bermula pada tahun ini sehingga 2025,” katanya.

Katanya, kementerian bersama agensi-agensi seperti MTIB dan LKTN akan terus memberi galakan dan insentif kepada industri dan universiti terutama UTHM untuk terus maju kehadapan sehingga sasaran menjadikan serat buluh sebagai sumber alternatif komoditi di Malaysia tercapai.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya