PETALING JAYA: Usahawan digesa untuk beralih ke arah ekonomi digital dan segera mendapatkan bantuan dari agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) sekali lagi merekodkan kecemerlangan dengan purata peningkatan jualan sebanyak 32.70 peratus.
Keberkesanan perniagaan digital tersebut terbukti melalui program Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) Kohort 2.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, program seumpama itu membuktikan penggunaan platform digital dalam perniagaan amat penting.
“Malah ia menjadi satu keperluan buat para usahawan menguasainya agar dapat membantu menjana ekonomi negara yang lebih optimum,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kejayaan-kejayaan yang dicipta oleh usahawan melalui program E-Board itu perlu dijadikan sumber inspirasi buat usahawan lain mencapai tahap yang lebih baik dan meningkatkan daya tahan di dalam industri perniagaan yang kian mencabar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd. Firdaus Azharuddin menegaskan, lebih banyak usahawan bakal dibantu serta diberi bimbingan komprehensif dalam meningkatkan jualan melalui platform digital.
“Namun tanggungjawab ini hendaklah digalas kedua-dua pihak iaitu Insken dan usahawan sendiri yang perlu memberi komitmen sepenuhnya dalam membuat transformasi perniagaan,” katanya.
Program E-Board Kohort 2 yang dilaksanakan dari November tahun lalu sehingga Februari lepas telah mendapat penyertaan tinggi daripada usahawan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.