Urusan jual beli emas perlu ada dokumen - Utusan Malaysia

Urusan jual beli emas perlu ada dokumen

Azman Adam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Semua urusan jual beli emas di kedai emas atau dalam talian wajib mempunyai dokumen termasuk resit pembelian bagi mengelak pengguna ditipu.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pengguna boleh membuat tuntutan ganti rugi jika berlaku penipuan dalam urusan jual beli emas sekiranya mempunyai dokumen tersebut.

Menurutnya, KPDNHEP telah menerima tujuh aduan berhubung penipuan jual beli emas sepanjang tahun ini.

Katanya, kebanyakan aduan tersebut melibatkan kekeliruan dari segi harga yang ditawarkan di kedai emas.

“Terdapat akta atau undang-undang khusus berkaitan dengan logam berharga termasuk emas, perak dan sebagainya. Undang-undang itu antaranya mewajibkan semua penjual perlu mengeluarkan satu resit iaitu dengan jelas menyatakan berapa harga emas itu, berapa gram beratnya dan upah yang dikenakan.

“Jadi jika ada pengguna yang nak beli emas mesti dapatkan dokumen tersebut. Sebab dokumen tersebut boleh digunakan jika ada proses tuntutan dari segi ganti rugi atau kita dapati emas dan logam tidak sama dari segi kualiti ditanda dengan kualiti emas yang dijual,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah dan Kempen Pembudayaan Norma Baharu Sektor Peruncintan di Kompleks Pekan Rabu di sini hari ini.

Majlis sambutan itu dirasmikan oleh Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pengguna perlu bijak memilih untuk membeli emas dan tidak terlalu tertarik dengan harga rendah yang ditawarkan.

“Kena buat pilihan di tempat yang betul, tidak kira beli secara online atau di kedai emas. Jangan tertarik dengan harga yang terlalu murah kerana kemungkinan ada unsur yang tidak betul.

“Kalau emas dijual secara atas talian pula kena pastikan peniaga berdaftar,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, peniaga juga bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada pengguna secara terperinci bagi mengelak kekeliruan ketika urusan jual beli emas berkenaan.

“Peniaga perlu nyata berapa nilai emas dan upah pembuatan barang emas itu dan jangan pamer harga yang mengelirukan pengguna,” katanya.

Tambah beliau, kementerian terbabit turut melatih anggotanya tentang selok-belok tentang emas bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lancar. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya