Upah lumayan sehingga RM8,000 komplot pecah masuk kedai - Utusan Malaysia

Upah lumayan sehingga RM8,000 komplot pecah masuk kedai

Suami isteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Memberi upah yang lumayan iaitu antara RM5,000 hingga RM8,000 kepada rakan subahat untuk melakukan kerja-kerja ‘kotor’.

Itu yang dijanjikan seorang suspek yang terlibat kejadian pecah masuk sebuah kedai sejuk beku di Taman Inderawasih, Perai kepada tiga lagi rakannya dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi, 4 April lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, dalam kejadian itu, pengadu mengesyaki premisnya dipecah masuk apabila pintu utama tempat penyimpanan daging sejuk beku terbuka dan kosong sebelum bertindak membuat laporan polis.

Katanya, selepas lebih seminggu diburu, keempat-empat suspek berusia antara 27 hingga 37 tahun diberkas kira-kira pukul 2.40 pagi semalam berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan.

Beliau berkata, suspek mengaku terlibat dengan kejadian pecah masuk kedai tersebut serta satu lagi kejadian di Sungai Kob, Kulim, Kedah.

“Suspek pertama memberitahu dia mencari maklumat mengenai kedai sejuk beku itu melalui laman Facebook dan Google di sebelah utara kerana tidak mahu aktivitinya dikesan polis di sebelah selatan akibat telah banyak kali ditangkap di sana.

“Pada masa sama, suspek turut mengajak tiga lagi rakannya yang tidak bekerja untuk turut berkomplot dengan membayar suspek kedua dan keempat sebanyak RM5,000 dan suspek ketiga RM8,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelas Shafee, siasatan awal mendapati suspek pertama yang berusia 32 tahun itu memiliki lapan rekod lampau termasuk berkaitan curi, dadah, pecah rumah, bergaduh dan sebagainya manakala tiga lagi rakannya masing-masing memiliki 22, 19 dan satu rekod lampau pelbagai kes.

Shafee berkata, selain memberkas keempat-empat suspek, polis turut menyita serta merampas beberapa barangan termasuk yang dicuri daripada kedai sejuk beku itu sebelum ini.

Menurut beliau, antara barangan tersebut termasuk sebuah lori, serangkai anak kunci berserta alat kawalan jauh, lima buah telefon bimbit, sekeping kad prabayar dan kad ganjaran isian minyak, satu unit alat pemotong besi, dua buah troli serta hampir 400 kotak produk daging sejuk beku pelbagai jenama.

“Ada barangan sejuk beku itu telah dijual kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai Sad di Johor Bahru dengan nilai sebanyak RM35,000.

“Bagaimanapun, polis masih menyiasat lokasi sebenar rumah atau premis lelaki berkenaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana terlibat dengan kegiatan pecah rumah atau kedai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya