KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) terus memperkasakan prasarana fizikal di kampusnya agar lebih mesra orang kurang upaya (OKU) menerusi penyediaan buggy untuk kegunaan 40 pelajar daripada golongan tersebut.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajarnya, Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, kemudahan itu bakal melancarkan pergerakan pelajar untuk ke kuliah, perpustakaan, masjid, surau mahu pun kafetaria.
Katanya, selain buggy pelbagai lagi manfaat lain disediakan buat golongan berkenaan antaranya kerusi roda, peti sejuk untuk menyimpan ubat, skuter elektrik, peneman termasuk elaun di samping kemudahan fasiliti mesra OKU seperti tandas, lif, tempat letak kenderaan dan penginapan yang mengikut spesifikasi.
“Ini antara salah satu usaha kita dalam membantu golongan berkenaan terutama mereka yang bermasalah penglihatan dan berkerusi roda selaras dengan dasar inklusif agar Unisza terus menjadi universiti mesra OKU
“Dengan inisiatif terbaharu ini kita berharap dapat meningkatkan lagi penglibatan pelajar OKU dalam semua aktiviti, malah kita berbangga kerana seorang daripadanya turut terpilih dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP),” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kemudahan itu di pekarangan Bangunan Canselori, di sini hari ini.
Pembelian kereta buggy itu adalah menggunakan peruntukan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan sumbangan daripada Pejabat Wakaf dan Endowmen Unisza.
Mohd. Afandi berkata, satu lagi buggy akan ditempatkan di kampus Unisza di Besut dalam masa terdekat di samping turut merancang membangunkan kenderaan sama menerusi prototaip yang dihasilkan Fakulti Reka Bentuk dan Industri universiti itu.
Terdahulu, katanya, Unisza turut menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU pada 1 Oktober 2019 bagi menyelaraskan segala keperluan pelajar dan kakitangan akademik serta bukan akademik.
Sementara itu, seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Informatik Media), Muhammad Nur Afiq Azhar, 22, berterima kasih atas keprihatinan pihak Unisza menyediakan kemudahan tersebut untuk mereka.
Dia yang bermasalah pendengaran berkata, penyediaan buggy itu bakal memudahkan urusan rakan-rakannya untuk ke kelas di samping melakukan aktiviti lain. – UTUSAN