REMBAU: Suasana menyambut puasa bulan Ramadan di Mekah tentunya dihajati ramai umat Islam termasuk dari negara ini.
Tidak hairanlah sebelum ini, pakej umrah Ramadan yang ditawarkan agensi pelancongan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat.
Namun, sejak setahun lalu, apabila pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia, keadaannya berbeza apabila pergerakan masuk dan keluar negara juga sudah dihadkan.
Keadaan itu sekali gus turut menjejaskan pendapatan golongan mutawif di negara ini.
Mutawif, Afendy Kamaruddin, 53, berkata, susulan pendemik Covid-19, dia dan rakan-rakan mutawif yang lain sudah lebih setahun tidak dapat menjejakkan kaki ke Mekah.
“Saya pernah menetap 10 tahun di sana, kemudian pada 2017 saya pulang ke Malaysia dan kemudian menjadi mutawif dengan membawa jemaah dari negara ini ke sana sekurang-kurangnya sebanyak dua kali dalam setahun.
“Sudah setahun ini kita diuji tidak dapat menunaikan haji dan umrah, saya harap, tahun depan kita semua dapat melaksanakan ibadah ini di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui sempena Majlis Jamuan Berbuka Puasa dan Semarak Ramadan di Balai Polis Kota, di sini kelmarin.
Pada majlis berkenaan, Afendy merupakan antara 15 individu yang menerima sumbangan dari syarikat Qudwah Sdn. Bhd. yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad.
Sementara itu, menurut Afendy, dia kini kehilangan sumber pendapatan sebagai mutawif dan bagi menampung kehidupan dia mengambil upah membuat kerja-kerja kampung.
“Saya anggap perkara ini sebagai ujian daripada Allah SWT dan tetap berusaha membuat yang terbaik buat keluarga
“Jika pendemik Covid-19 ini telah berakhir saya tidak sabar menjejakkan kaki ke sana dan merasai kembali suasana beribadat di sana.” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE