UMNO tunggu keputusan Majlis Syura Pas mengenai MN - Utusan Malaysia

UMNO tunggu keputusan Majlis Syura Pas mengenai MN

AHMAD Maslan (lima dari kiri) mendengar taklimat daripada wakil Jurutera JPS Daerah Pontian mengenai usaha mengatasi masalah banjir kilat di Kampung Parit Stan, Benut, di Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO menunggu keputusan atau ketetapan daripada Majlis Syura Pas sebagai kuasa tertingginya mengenai kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum mengambil langkah seterusnya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO telah membuat keputusan melalui Perhimpunan Agung UMNO pada minggu lalu untuk memperkukuhkan MN sebagaimana usul diputuskan oleh para perwakilan.

Katanya, kenyataan bersama yang dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak semestinya mewakili suara Pas keseluruhan.

“Seperti mana UMNO melalui persidangan kita, Pas juga ada kaedah membuat keputusan melalui Majlis Syura yang belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hubungan UMNO dan Pas dalam MN,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian ditemui selepas meninjau masalah banjir termenung di Kampung Parit Stan, Benut di sini.

Tambah Ahmad, kepimpinan Pas turut mengetahui bahawa usul memperkukuhkan MN menjadi sebahagian daripada agenda persidangan UMNO yang turut dihadiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kita menyerahkan kepada Pas untuk membuat keputusan berkaitan MN dan UMNO seperti mana ketetapan yang dibuat pada persidangan untuk kekal dengan pendirian tidak akan berkerjasama dengan Bersatu,” tegasnya.

Ditanya mengenai pelbagai kenyataan yang dikeluarkan selepas persidangan termasuk oleh pemimpin UMNO sendiri, Ahmad menegaskan, hanya kenyataan rasmi daripada Presiden UMNO dan Setiausaha Agung boleh diterima.

Sebaliknya jelas beliau, kenyataan yang dikeluarkan selain daripada mereka berdua merupakan kenyataan peribadi yang hanya boleh mengeruhkan keadaan dan tidak berpegang kepada lima ketetapan yang telah diputuskan semasa persidangan.

“Ini termasuklah keputusan tiada kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sehingga pembubaran Parlimen,” jelasnya.

“Sehubungan itu, sekiranya semua pihak memahami, tentu tidak akan ada sebarang polemik mengenai keputusan yang dibuat semasa persidangan berkaitan kerjasama dengan Bersatu dan usaha memperkukuhan MN dengan Pas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya