PUTRAJAYA: Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) perlu dipanggil segera bagi membolehkan satu keputusan lebih tuntas dan jelas ke atas hala tuju UMNO dibincang dan diterima majoriti ahli dan pemimpin parti.
Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah berkata, ia berikutan tersebarnya audio perbualan telefon seseorang yang suaranya menyerupai suara pemimpin tertinggi UMNO sekali gus menunjukkan perlanggaran luar biasa ke atas keputusan Majlis Tertinggi dan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini.
Pada masa sama, katanya, pemilihan parti perlu diadakan kadar segera agar kemelut dan perpecahan dalaman parti dapat dielakkan.
” Ia selaras dengan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 18 Januari lalu bahawa Presiden UMNO bersetuju agar pemilihan UMNO akan diteruskan di semua peringkat seperti yang dijadualkan pada tarikh yang sesuai tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Minda dan Penasihat Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) itu berkata, gesaan agar Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri daripada UMNO untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet selepas perhimpunan parti itu baru-baru ini adalah satu tindakan tidak waras kerana ini menimbulkan banyak implikasi negatif kepada negara keseluruhannya.
Katanya, beliau kecewa masih ada segelintir ahli-ahli politik yang masih berpolitik tanpa mengira kesusahan rakyat di bawah apatah lagi sudah lebih setahun negara berhadapan dengan wabak Covid-19.
Beliau menjelaskan, apa salahnya jika ahli-ahli Parlimen bersatu hati menyokong kerajaan pada hari ini sehingga kita dapat menangani masalah pandemik dengan baik kerana kebajikan rakyat adalah lebih penting dan peluang-peluang ekonomi harus dibuka bagi membantu mereka yang terjejas.
“Jika orang-orang Melayu berpecah maka politik orang Melayu juga akan turut berpecah. Sudah pasti kuasa politik yang sepatutnya dimiliki oleh orang Melayu selaku rakyat majoriti di negara ini tidak akan sepenuhnya dapat digunakan sebaiknya untuk survival orang Melayu.
“Pemimpin dan ahli UMNO harus sedar bahawa tanpa pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini kita mungkin masih bergelar pembangkang dan tidak akan memimpin semula negara ini sepertimana sekarang,” katanya.
Apa yang sepatutnya, kata beliau, UMNO perlu bersyukur kerana doa untuk kembali memimpin negara setelah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan memberi pengalaman amat perit bukan sahaja kepada orang Melayu dan agama Islam tetapi merosakkan ekonomi, politik dan kestabilan hubungan antara kaum di negara ini.
“Walaupun kita harus berpijak di bumi yang nyata, namun hari ini UMNO bukan lagi mempunyai majoriti malah tidak lagi berkuasa seperti dahulu. Jangan kerana ego dan kepentingan sesetengah individu menyebabkan UMNO dijadikan mangsa.
“Jika ego dan kepentingan diri begini wujud dalam UMNO, kesannya sudah pasti rakyat dan negara akan tergadai semula ke tangan individu-individu yang tidak bertanggungjawab sama seperti PH yang telah memerintah negara selama 22 bulan,” katanya. – UTUSAN ONLINE