KUALA TERENGGANU: UMNO mengkhianati kerjasama Muafakat Nasional (MN) sekiranya rakaman audio yang dikatakan mirip suara Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tulen.
Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan itu sama sekali membelakangi kepentingan deklarasi yang ditandatangi kedua-dua pihak pada 14 September 2019.
“Jika benar wujud usaha menjajarkan hubungan antara UMNO dengan parti lain yang membelakangi kepentingan MN, bagi saya itu satu pengkhianatan terhadap MN.
“Tetapi kita berharap perkara itu tidak benarlah kerana yang saya faham UMNO menerusi keputusan Majlis Tertingginya menegaskan ‘no DAP, no Anwar’. Kalau berlaku sebaliknya, maka itu telah melanggar apa yang diputuskan dalam MN,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Malaysia Prihatin peringkat Terengganu, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan rakaman audio itu sebagai isyarat awal penjajaran politik baharu yang ditolak parti berkenaan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid dan Anwar menafikan suara mereka dalam audio berkenaan dan masing-masing akan membuat laporan polis.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Khairuddin berkata, hubungan antara Pas dan UMNO masih berjalan seperti biasa termasuk urusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Induk MN yang diatur setiap dua kali sebulan dengan terbaharu diadakan pada Rabu lalu.
Bagaimanapun, katanya, Pas tidak perlu meminta restu UMNO untuk membincangkan soal agihan kerusi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya bebas melakukan perbuatan tersebut dengan sesiapa.
“Tidak timbul tentang restu sebab kita bebas berbincang dengan sesiapa sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE