KANGAR : Masih ada ruang kerjasama membabitkan UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) meskipun Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus memperkasakan hubungan di dalam Perikatan Nasional (PN).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man berkata, pada masa ini, UMNO hanya menolak kerjasama dengan Bersatu, namun, di peringkat MN, UMNO masih kekal bersama Pas termasuk dalam soal pengagihan kerusi dalam pilihan raya.
“Keputusan diambil pada masa ini, UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu bagaimanapun MN masih kekal.
“Bagaimanapun, jika berkemungkinan tidak ada persefahaman meskipun di dalam MN, maka keputusan bergerak sendiri yang pratikal. Ini semua kemungkinan-kemungkinan jika tidak berlaku kerjasama di dalam pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan ulang tahun ke-75 RTM di sini hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, kesepakatan Bersatu dan Pas bertambah kukuh selepas tiga hari UMNO mengumumkan menamatkan kerjasama dengan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dalam perkembangan terkini, Bersatu dan Pas yang merupakan antara parti pengasas PN bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju gabungan tersebut bagi menghadapi PRU-15 termasuk rundingan pengagihan kerusi.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Tambah Azlan yang juga Menteri Besar, soal pengagihan kerusi masih belum dimuktamadkan apabila mengambil kira suasana terkini UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu.
“Dengan Pas kita masih ada ruang dalam soal pengagihan kerusi itu. UMNO dan Pas tidak pernah putus hubungan di dalam MN,” katanya merangkap Ketua UMNO Bahagian Kangar.-UTUSAN ONLINE