Ular sawa 'melawat' pekan Alor Gajah - Utusan Malaysia

Ular sawa ‘melawat’ pekan Alor Gajah

ULAR sawa melingkar di kawasan sebuah premis di Alor Gajah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Suasana di sebuah bengkel motosikal berhampiran bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Alor Gajah di sini kecoh selepas seekor ular sawa seberat enam kilogram tiba-tiba muncul di kawasan itu, pagi semalam.

Menurut seorang saksi, Azmi Alias, 35, dia yang menunggang motosikal melalui jalan di hadapan bengkel tersebut terkejut apabila melihat orang ramai lari lintang-pukang keluar daripada premis tersebut kira-kira pukul 9.10 pagi.

“Pada mulanya saya sangka berlaku kemalangan jalan raya kerana lihat ramai orang berlari, namun apabila mendekati kawasan itu saya ternampak seekor ular sawa sedang menjalar keluar longkang dari arah Bank Simpanan Nasional (BSN) berdekatan.

“Saya terus ke pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang terletak hanya kira-kira 200 meter dari lokasi untuk melaporkan kejadian tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, haiwan liar itu terus menjalar naik ke atas jalan raya dan bergerak menuju ke premis bengkel motosikal berkenaan sehingga mencetuskan suasana panik di pekan tersebut.

“Sebelum ini saya pernah nampak ular di hutan atau kawasan semak tetapi ini kali pertama saya nampak ular sesat di tengah-tengah pekan Alor Gajah,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi APM daerah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 9.24 pagi.

“Sejurus selepas menerima laporan, sepasukan tiga orang anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menangkap ular.

“Ular jenis sawa sepanjang 1.2 meter itu kemudian berjaya ditangkap dalam masa dua minit ketika sedang melingkar di kaki lima sebuah bangunan berhampiran TNB Alor Gajah,” katanya.

Beliau berkata, ular itu dipercayai datang dari kawasan lembap seperti longkang kerana mencari sumber makanan.

Jelasnya, ular tersebut kemudian dilepaskan di habitatnya yang jauh daripada kawasan penempatan penduduk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya