Ujian hari pertama Ramadan - Utusan Malaysia

Ujian hari pertama Ramadan

SHAHNUM Ahmad dan Murni Hassan mengemas barangan yang basah setelah bumbung rumah mereka mengalami kerosakan dalam kejadian ribut di Felda Lubuk Merbau, Padang Terap, Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Lebih 400 ahli keluarga di Felda Lubuk Merbau di sini, menerima ujian hari pertama sambutan Ramadan apabila rumah mereka mengalami kerosakan dalam kejadian ribut, kelmarin.

Sebanyak 95 buah rumah di tanah rancangan Felda itu dan kawasan berhampiran mengalami kerosakan dalam kejadian ribut pada pukul 5 petang berkenaan.

Sebanyak lima buah rumah pula dilaporkan mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung apabila diterbangkan angin kencang ketika hujan lebat.

Semasa kejadian, kebanyakan mangsa berada di rumah membuat persiapan berbuka puasa bersama ahli keluarga.

Seorang mangsa, Shahnum Ahmad, 50, yang tinggal di Felda Lubuk Merbau memberitahu, ketika kejadian, dia bersama empat anak berusia antara lima tahun hingga 27 tahun berehat dalam rumah sementara menunggu waktu berbuka puasa.

Katanya, isterinya, Murni Hassan, 48, pula sedang memasak di dapur untuk persiapan berbuka puasa pada hari pertama Ramadan.

Menurutnya, kejadian ribut yang berlaku kira-kira 10 minit tersenut adalah kali pertama berlaku di Felda Lubuk Merbau.

“Ketika hujan lebat, tiba-tiba angin kencang melanda kawasan tersebut sehingga mengakibatkan atap rumah saya terbang dan menghempap rumah ibu saya berdekatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pedu, Mohd. Radzi Md. Amin dan Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abd. Rahman turut meluangkan masa melawat mangsa ribut di kawasan itu.

Seorang lagi penduduk penduduk, Basri Mohamad, 55, berkata, sebahagian atap rumahnya di bahagian dapur rosak dan diterbangkan angin dalam kejadian ribut itu.

“Saya menganggap kejadian yang berlaku ini ujian Allah pada hari pertama Ramadan memandangkan ribut tidak pernah berlaku di kawasan ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN