PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) semakin dipandang tinggi di peringkat antarabangsa apabila kini berada di kedudukan 101-200 berbanding 401-600 dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings.
Bukan itu sahaja, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, UiTM meraih tempat keempat daripada 19 universiti Malaysia dalam ranking tersebut.
“Pencapaian yang memberangsangkan ini adalah hasil pendekatan dan inisiatif pintar dimulakan oleh bekas Naib Canselor, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Azraai Kassim menerusi pelaksanaan perancangan strategik UiTM2025.
“Ini bukti jelas UiTM berada pada landasan yang betul ke arah menjadi universiti terkemuka dunia menjelang 2025, sekali gus menjadi motivasi terbaik kepada warga UiTM untuk kekal komited,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Roziah berkata, peningkatan tersebut turut dibantu dengan prestasi baik UiTM dalam matlamat pembangunan lestari (SDG), yang menjadi ukuran dalam ranking tersebut.
“Berbeza dengan penarafan dunia yang lain, THE Impact Rankings memberi tumpuan terhadap 17 SDG dalam usaha menyemai keharmonian serta kemakmuran alam dan masyarakat sejagat.
“Peningkatan ketara dicatatkan oleh SDG 17 (Partnerships for the Goals) yang menempatkan UiTM di kedudukan 48 berbanding kedudukan 601 ke atas tahun lepas,” katanya.
Katanya, pencapaian yang membanggakan itu merupakan hasil usaha dan komitmen yang berterusan UiTM dalam kerjasama dengan rakan strategik.
Ini adalah kali kedua UiTM tersenarai dalam THE Impact Rankings, dengan sebanyak 1,115 universiti di seluruh dunia mengambil bahagian dalam penarafan tersebut. – UTUSAN ONLINE