Ubah suai borang rentas negeri, wanita warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Ubah suai borang rentas negeri, wanita warga asing ditahan

BORANG rentas negeri palsu digunakan seorang wanita warga asing ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Bentong, di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Taktik seorang wanita warga asing mengubah suai borang rentas negeri yang sudah digunakan tidak menjadi apabila dia ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Plaza Tol Bentong di sini semalam.

Ketua Polis daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, wanita berusia 38 tahun itu ditahan ketika menaiki bas dan melalui sekatan jalan raya di plaza tol berkenaan, kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Pegawai dan anggota yang bertugas menahan sebuah bas ekspres dalam perjalanan menghala ke Kuantan dan memeriksa borang rentas negeri 16 penumpang yang menaiki bas terbabit. Hasil pemeriksaan mendapati borang rentas negeri milik seorang penumpang wanita warga asing agak meragukan dan disyaki palsu.

“Selepas menghubungi balai yang mengeluarkan borang berkenaan mendapati tiada nombor siri seperti yang tercatat pada borang rentas negeri milik wanita terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zaiham berkata, ketika disoal siasat, wanita terbabit mengaku memperoleh borang berkenaan daripada seorang rakan dan mengubahsuainya menggunakan komputer serta dicetak semula untuk kegunaan kali kedua.

Beliau berkata, wanita terbabit kini direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM4,000.

“Orang ramai yang hendak membuat perjalanan rentas negeri diingatkan supaya tidak mengambil tindakan dengan mengemukakan borang rentas negeri yang telah diubah suai dengan niat memalsukan dokumen tersebut.

“Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas jika didapati ada mana-mana pihak yang berdegil dan melakukan kesalahan itu,” katanya.

Katanya, polis akan mengetatkan pemeriksaan di semua sekatan jalan raya antara negeri di daerah ini termasuk di Plaza Tol Bentong berikutan ia adalah laluan utama ke pantai timur khususnya dari Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya