Ubah persepsi francais tidak lagi perlu modal besar - Utusan Malaysia

Ubah persepsi francais tidak lagi perlu modal besar

WAN Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) bergambar selepas perasmian Bit Expo 2021 (BITe 2021) di Dewan Seri Endon di Putrajaya, hari ini. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mahu masyarakat mengubah persepsi negatif konon perniagaan francais memerlukan modal permulaan tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebaliknya berkata, bakal usahawan baharu yang ingin menceburi bisnes francais tidak perlu berasa bimbang mengenai isu itu.

“Apabila bercakap mengenai perniagaan francais, masyarakat kita ada persepsi bisnes ini memerlukan modal yang besar padahal anda boleh memilih pakej mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ekspo Transformasi Bisnes (Bite) 2021 anjuran agensi kementerian tersebut, Perbadanan Nasional (PNS) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Suriani Ahmad; Pengerusi PNS, Datuk Zakaria Mohd. Edris dan Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Mohd. Hilaluddin Abdul Shukor.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, bakal usahawan tidak perlu risau mengenai pakej kerana banyak francaisor sedia menawarkan skim modal berpatutan dengan kemampuan.

“Contohnya, jenama ternama Putu Bambu World ada menyediakan pakej perniagaan serendah RM7,000 hingga RM70,000 untuk memulakan bisnes pra-francais,” kata beliau.

Pada masa sama, beliau menambah, industri francais tempatan juga banyak pilihan dan bukan lagi sekadar didominasi sektor makanan atau minuman untuk para peniaga kecil.

Antaranya, sektor kecantikan dan kesihatan, pakaian, perkhidmatan dan penyelenggaran, kedai sebanika, pasar raya peruncitan serta pusat pembelajaran dan asuhan kanak-kanak.

Justeru, ujarnya, masyarakat yang berminat kini ada banyak opsyen dan mereka boleh datang ke pejabat kementerian untuk berbincang mengenai pelbagai kemudahan pembiayaan kecil.

“Saya berharap agar PNS terus bantu peniaga khasnya Bumiputera untuk tranformasi bisnes mampu bersaing dengan jenama besar seterusnya kembang ke peringkat global,” katanya.

Wan Junaidi turut optimis potensi industri francais sebagai instrumen bagi merangsang ekonomi negara kerana jenama yang ditawarkan telah dikenali ramai dan ada penggemarnya.

Menyentuh mengenai Program Bite 2021, beliau meminta peserta berkongsi pengalaman dan membina jaringan perniagaan dengan ramai usahawan terutama bagi mengukuhkan bisnes.

Mereka juga wajar belajar kejayaan francaisor terbaik tempatan seperti JM Bariani, Menara Optometri, Genius Aulad, Adan Laundry, CIC Kindergarten, Gedung Penawar dan Resipi Arena.

“PNS akan bimbing meliputi usaha menaik taraf perniagaan dari segi imej, kualiti perkhidmatan dan konsep bisnes sejajar misi kementerian melahirkan 100 jutawan setiap tahun,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya