PETALING JAYA: Kerajaan melantik 12 individu sebagai Ahli Majlis Penasihat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) termasuk Tun Arifin Zakaria selaku pengerusi berkuat kuasa 1 April lalu.
Turut dilantik termasuk Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas); Tan Sri Sulong Matjeraie, Naib Pengarah AIAC, Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham dan Pengerusi TalentCorp, Dr. Wafi Nazrin Abdul Hamid.
Tiga orang berlatarbelakangkan pendidikan undang-undang turut dilantik iaitu Raja Datuk Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan; Datuk Nitin Nadkarni dan Tan Swee Im.
Majlis Penasihat itu turut melantik beberapa individu dari luar negara iaitu Prof. Doug Jones AO (Australia); Dr. Hassan Arab (Emiriah Arab Bersatu); Monica Feria Tinta (United Kingdom); Khawar Qureshi QC (United Kingdom); dan Vyapak Desai (India).
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan Ahli Majlis Penasihat AIAC dari dalam dan luar negara ini dibuat berdasarkan kepakaran dan pengalaman luas individu-individu berkenaan dalam industri Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) di negara masing-masing.
“Dengan pelantikan ahli Majlis Penasihat AIAC ini saya berharap AIAC akan meneruskan kecemerlangan sebagai sebuah institusi ADR dan pusat timbang tara yang unggul dan terkemuka di dunia,” katanya.
Katanya lagi, Majlis Penasihat AIAC berperanan untuk menentukan strategi dan pelan tindakan bagi memperkukuhkan AIAC serta meningkatkan aktiviti-aktiviti pusat tersebut.
Di samping itu, Majlis Penasihat itu akan turut membantu Pengarah AIAC, Tan Sri Datuk Suriyadi Halim Omar. – UTUSAN ONLINE