Tuduhan terhadap hakim bicara tidak wajar - Pendakwaan - Utusan Malaysia

Tuduhan terhadap hakim bicara tidak wajar – Pendakwaan

V. Sithambaram (kiri) ketika hadir di Mahkamah Rayuan hari ini bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International di Putrajaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Mohd. Nazlan yang mendengar dan membuat keputusan pada perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan ketidakadilan undang-undang atau berat sebelah.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V. Sithambaram dalam hujahnya di Mahkamah Rayuan di sini hari ini menyatakan, tuduhan pihak pembelaan di dalam dan luar mahkamah bahawa hakim itu betul-betul tidak cekap (hopelessly incompetent) adalah sesuatu yang sangat tidak wajar.

“Saya bukan hendak menyokong hakim bicara tetapi apabila penghakimannya diserang (oleh pembelaan) bermakna hakim tersebut juga diserang. Awak (pembelaan) tidak boleh mendakwa hakim itu berat sebelah kerana beliau tidak berada di sini untuk membela dirinya. Berat sebelah atau tidak, biar mahkamah (yang lebih tinggi) menentukannya,”kata Sithambaram.

Pada hari kedua rayuan Najib di Mahkamah Rayuan, peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang mendakwa Hakim Mohd. Nazlan betul-betul tidak cekap (hopelessly incompetent), tidak berpengalaman dan telah `meracun’ penghakiman yang dibuat di akhir kes penghakiman dengan memasukkan beberapa dapatan yang tidak pernah dinyatakan ketika membuat keputusan prima facie dan nota prosiding.

Tindakan tersebut telah menyebabkan peguam itu ditegur oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetui panel tiga hakim yang mendengar rayuan itu.

Terdahulu, Sithambaram menyatakan dakwaan-dakwaan bahawa Hakim Mohd. Nazlan berat sebelah dengan memihak kepada pendakwaan, bertindak seperti `pendakwaan kedua’ dan `hopelessly incompetent’ adalah satu tuduhan yang serius.

“Pembelaan turut menyerang penghakiman yang ditulis oleh hakim bicara di akhir kes pendakwaan yang memutuskan terdapatnya prima facie dibuat dengan tidak mengikut lunas undang-undang kerana selepas penghakiman dibuat, hakim tidak boleh membuat penambahan terhadap penghakiman itu.

“Kami telah menunjukkan bahawa hakim bicara memnpunyai hak untuk berbuat demikian memandangkan penghakiman di akhir kes pendakwaan bukanlah penghakiman akhir. Apa yang hakim bicara lakukan tidak bertentangan dengan undang-undang dan dibuat dalam ruang lingkup undang-undang. Pemahaman hakim bicara terhadap undang-undang adalah jelas,”ujarnya.

Pendakwa Raya itu berhujah demikian ketika membuat hujahan balas terhadap rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.

Pendengaran rayuan itu telah memasuki hari ke-12 hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya