Tradisi ketuk-ketuk sahur empat dekad - Utusan Malaysia

Tradisi ketuk-ketuk sahur empat dekad

KANAK-KANAK dan remaja mengetuk gendang, tong cat dan baldi membangunkan penduduk untuk bangun sahur di Kampung Padang Temu, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kedatangan Ramadan sememangnya amat dinanti-nantikan penduduk di sekitar Kampung Padang Temu dekat sini.
Bagi mereka, kehadiran sekumpulan kanak-kanak dan remaja mengejut penduduk de­ngan memalu gendang, tong cat dan baldi melalui ketuk-ketuk bangun sahur cukup dirindui dan merupakan satu tradisi yang sudah lama diamalkan.

Malah menurut mereka, Ramadan bagaikan tidak lengkap tanpa aktiviti ketuk-ketuk sahur.

Namun tidak diketahui sejarah awal ketuk-ketuk sahur yang sudah menjadi amalan tradisi di kampung tersebut sejak sekian lama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Temu, Azmi Aziz berkata, beliau difahamkan aktiviti ketuk-ketuk sahur sudah diamalkan sejak awal 1980.

“Mengikut orang lama di kampung ini, aktiviti ketuk-ketuk sahur sudah menjadi tradisi begitu lama untuk mengejutkan penduduk untuk bangun sahur.

“Tradisi ini tenggelam timbul. Tahun lalu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak ada aktiviti ketuk-ketuk sahur,” katanya.

Menurutnya, tahun ini ketuk-ketuk sahur dihidupkan semula sejak hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa hingga akhir Ramadan.

Jelasnya, kumpulan ketuk-ketuk sahur terdiri daripada golongan kanak-kanak dan remaja berusia antara 11 hingga 21 tahun.

“Kebiasaannya antara 10 hingga 15 orang akan mula berkumpul di Surau Selekoh Padang Temu bermula pukul 4 pagi,” katanya.

Katanya, dari situ mereka akan bergerak selama sejam sambil memalu gendang, tong cat, baldi dan periuk sambil berlagu melaung jom bersahur.

Kawasan yang dilalui kumpulan ketuk-ketuk sahur itu ialah di Kampung Padang Temu, Taman Padang Temu, Taman Jaya dan Taman Melayu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN