Tradisi bedil penyeri Ramadan - Utusan Malaysia

Tradisi bedil penyeri Ramadan

MOHD. Syahiran Shafie melakukan persiapan bedilan bunga api untuk menandakan masuk waktu berbuka puasa di Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bunyi bedilan bunga api pada waktu berbuka puasa dan imsak sememangnya cukup sinonim di Terengganu setiap kali Ramadan.

Tradisi dikenali sebagai bedil Ramadan itu dikatakan bermula sejak zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III dari tahun 1881 hingga 1918 dengan penggunaan genta atau loceng besar di atas Bukit Puteri.

Kini, tradisi sama masih diteruskan di Bukit Pak Apil di sini dan menjadi panduan kepada sebahagian besar penduduk di bandar raya ini sebagai petanda waktu berbuka puasa dan ber­akhirnya sahur.

Penyelia piroteknik Red Flame Special Effect Sdn. Bhd., Shafuan Shafie, 35, berkata, bedilan bunga api itu difahamkan boleh didengari sehingga 20 kilometer dari lokasi tembak termasuk di Bukit Payung, Marang di samping Seberang Takir di Kuala Nerus.

Katanya, bedilan pertama dilakukan lima minit sebelum imsak disusuli yang kedua apabila masuk waktunya manakala hanya satu tembakan dilepaskan sebagai tanda berbuka puasa.

“Semasa pengumuman permulaan puasa pada Isnin lalu, sebanyak tujuh bedilan bunga api dilepaskan selang 15 saat sebagai simbolik Ramadan dan kaedah sama akan dilakukan pada malam raya di samping pagi satu Syawal.

“Bedilan bunga api kemudian diteruskan sehingga tamat ibadah sunat puasa enam dan keunikan itu sekali gus menyerikan suasana berpuasa di Terengganu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Shafuan, buat julung kalinya proses membedil bunga api pada Ramadan tahun ini dilakukan secara tanpa wayar berbanding sistem sebelumnya yang menggunakan kabel.

Sementara itu adiknya, Mohd. Syahiran, 32, yang me­rupakan piroteknik di syarikat sama diamanahkan meletupkan bunga api berkenaan dalam tempoh dua minggu pertama umat Islam berpuasa.

Mohd. Syahiran yang menggalas peranan itu sejak 2007 berbangga kerana dapat menyem­purnakan tugasan besar untuk seluruh rakyat Terengganu setiap kali Ramadan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya