KOTA BHARU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyangkal dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kononnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tiada hala tuju.
Mustapa berkata, biarpun tidak mempunyai manifesto, hala tuju PN yang diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jelas dan disusun dengan rapi untuk menyelesaikan masalah negara terutama berkaitan ekonomi ketika ini.
Katanya, rancangan-rancangan tersebut sudah disusun mengikut keutamaan bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Bagi jangka pendek, sudah pasti belanjawan merupakan perancangan penting yang sudah diumumkan pada 6 November lalu dan menerusinya turut diumumkan pakej rangsangan bagi membantu rakyat berjumlah RM325 bilion.
“Dalam jangka sederhana, kita ada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Walaupun belum dibentangkan lagi di Parlimen, namun kita ada beberapa elemen untuk memulihkan ekonomi serta bantu rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah Malaysia Prihatin Taklimat Isu Semasa – Pengurusan Pandemik COVID-19 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Terdahulu Ahmad Zahid dilaporkan mendakwa Kerajaan Persekutuan dibentuk gabungan PN yang ada sekarang tidak mempunyai hala tuju jelas disebabkan tidak mempunyai manifesto tersendiri sebagaimana parti lain.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, bagi pemulihan ekonomi jangka panjang pula, kerajaan sudah merangka Wawasan Pembangunan Usahawan.
“Pemulihan ekonomi akibat Covid-19 juga dibincangkan Kabinet pada setiap minggu melibatkan parti-parti seperti UMNO, Pas, MIC, MCA, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Semua ini merupakan hala tuju kerajaan yang jelas untuk menstabilkan ekonomi dan pada masa yang sama sberusaha mengawal penularan pandemik Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE