SHAH ALAM: Bagi membantu anak-anak golongan B40 mempunyai kelengkapan persekolahan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyampaikan bantuan tersebut kepada 3,000 yang berkelayakan di seluruh negeri ini.
Pengurus Besar TNB Bahagian Hal Ehwal Pemegang Taruhan Negeri Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya, Ir. Ahmad Rezahan Mohammad berkata, pihaknya prihatin dengan masalah dihadapi oleh golongan tersebut sejak pandemik Covid-19 melanda.
“Ini adalah tanggungjawab sosial korporat dan kita laksanakan melibatkan 3,000 penerima di 22 kawasan di negeri ini.
“Kita juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan, Bantu Generasi Kita (Bangkit) Shah Alam untuk menyumbang kelengkapan persekolahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ceria Ke Sekolah TNB bersama Bangkit di Gudang Canggih Seksyen 16, di sini hari ini.
Terdahulu, kesemua penerima menerima kelengkapan persekolahan seperti baju, seluar, stoking dan kasut sekolah.
Yang turut hadir Penaung Bangkit, Datuk Azhari Shaari; Pengerusi Bangkit, Datuk Ahmad Safri Hanifullah dan Ketua Pegawai Eksekutif My Sutera Sdn.Bhd. (Canggih), Masnizam Hisham.
Sementara itu, Ahmad Safri berkata, program tersebut diadakan bagi membantu golongan B40 yang terkesan daripada sudut kewangan sejak tahun lalu.
“Kita tahu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sekolah terpaksa ditutup dan mungkin ada keluarga yang terjejas pendapatan akibat pandemik.
“Oleh demikian, mereka mungkin menghadapi kesusahan untuk membeli kelengkapan persekolahan untuk anak-anak,” katanya. – UTUSAN ONLINE