Tipu khidmat kiriman wang: Penyelia, pekerja ditahan - Utusan Malaysia

Tipu khidmat kiriman wang: Penyelia, pekerja ditahan

NURULHUDA MOHD. SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tindakan dua pekerja sebuah kedai perkhidmatan kiriman wang terlibat dengan penipuan pengiriman wang bernilai RM11,210 membawa padah apabila mereka ditahan di sebuah kondominium di Setapak, Kuala Lumpur dekat sini semalam.

Operasi pada pukul 3.04 pagi itu memberkas seorang lelaki dan wanita, masing-masing berusia 30 dan 35 tahun, yang diburu sejak lapan bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, kedua-dua mereka dikehendaki selepas terlibat dengan penipuan terhadap seorang wanita dari Sabah berusia 59 tahun pada Ogos tahun lalu.

Menurutnya, mangsa telah pergi ke kedai perkhidmatan kiriman wang berdekatan stesen bas Klang, Jalan Pos Baru dan berjumpa dengan suspek wanita dan menyerahkan wang secara tunai RM11,210 untuk dihantar ke Indonesia.

“Namun selepas tiga hari, mangsa menerima panggilan daripada keluarganya memaklumkan wang masih belum diterima. Mangsa pergi semula ke kedai tersebut dan suspek berjanji untuk menghantar wang yang dikirim pada keesokan hari.

“Namun sehingga kini, suspek masih belum menghantar wang yang dikirim oleh mangsa. Bertindak atas laporan, kita telah menahan suspek wanita yang baharu bekerja dua bulan di kedai tersebut sebelum menahan lelaki selaku penyelia.

“Kedua-dua mereka ditahan di kediaman wanita tersebut di sebuah kondominium di Taman Setapak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Nurulhuda, pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah yang dilakukan. Selain itu, orang ramai juga perlu membuat semakan secara terperinci atas syarikat kiriman wang sebelum melakukan apa-apa transaksi dan pembayaran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya