Tingkat usaha cegah pencerobohan nelayan asing - Utusan Malaysia

Tingkat usaha cegah pencerobohan nelayan asing

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) perlu meningkatkan usaha mencegah aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi mengawal sumber perikanan di perairan negara daripada dicuri nelayan asing.

Menurutnya, ini juga bagi meningkatkan hasil pendapatan nelayan tempatan dan mengekalkan sumber itu untuk keperluan rakyat keseluruhannya.

Beliau memberitahu, CAP bimbang dengan laporan kecurian sehingga RM4.25 bilion hasil laut negara kepada nelayan asing yang mana keadaan itu jika dibiarkan boleh menjejaskan ekonomi negara dan menggugat sektor perikanan pada masa akan datang.

“CAP kesal walaupun masalah ini sudah lama berlaku dan beberapa gesaan telah dibuat supaya tindakan tegas diambil ke atas bot-bot nelayan asing yang terlibat namun hingga sekarang kejadian itu gagal ditangani dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di bawah undang-undang negara, bot dan kapal asing yang menceroboh perairan negara boleh didakwa di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM1 juta bagi setiap pemilik bot dan denda RM100,000 bagi setiap anak kapal jika disabitkan kesalahan.

Dalam perkembangan berkaitan tambahnya, CAP menggesa Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyiasat punca peningkatan harga ikan ketika ini.

“Peranan orang tengah perlu diberi perhatian serius dan ditangani segera agar harga ikan tidak menjadi terlalu mahal dan membebankan pengguna.

“Kita percaya jika tindakan tegas tidak diambil oleh kerajaan terhadap aktiviti pencerobohan nelayan asing dan nelayan tempatan yang menggunakan pukat tunda, sumber perikanan negara akan mengalami kepupusan pada masa akan datang,” katanya.

Jelas beliau, pihak berkenaan perlu menyiasat perkara itu dan mengumumkan hasil siasatan tersebut kepada orang ramai berkenaan punca-punca menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak harga beberapa jenis ikan di pasaran ketika ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya