Tindakan tegas DBP pertahan kalimah Allah dipuji Pembela - Utusan Malaysia

Tindakan tegas DBP pertahan kalimah Allah dipuji Pembela

Aminuddin Yahya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menghargai penegasan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam mempertahankan kalimah Allah yang eksklusif hanya bagi umat Islam.

Pengerusinya, Aminuddin Yahya berkata, langkah agensi perbahasaan awam itu sangat dipuji dalam kontroversi polemik terjemahan God ke dalam bahasa Melayu konon bermaksud Allah.

“Alhamdulillah, jutaan terima kasih dan tahniah diucapkan kepada pihak DBP atas tindakan tuntas ini,” katanya menerusi kenyataan disiarkan melalui akaun sosial Facebooknya semalam.

Beliau merujuk hantaran terkini badan itu menerusi wadah media sosial rasminya semalam yang menjelaskan God bererti tuhan, manakala istilah digunakan dalam ajaran Islam pula ialah Allah.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, istilah Allah ialah kata rujuk kepada Tuhan Maha Esa dan pencipta seluruh alam dengan bersifat sempurna.

Tuhan dengan abjad T dieja huruf besar diberi takrif sama istilah sinonim Allah, namun jika T itu dieja huruf kecil, ia berbeza dengan konsep ketuhanan Islam yang tauhid berbanding agama lain.

Perkataan tersebut malah diwartakan menerusi Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan DBP pada 2005, Kamus Melayu-Inggeris Dewan 2012 dan paling baharu, Kamus Dewan Perdana 2020.

Mengulas lanjut, Aminuddin menyifatkan usaha DBP itu sekali gus menafikan hujah misionari Kristian bersungguh-sungguh mahu menjadikan Allah sebagai bahan dakyah dalam kitab Bible.

“Semoga ini menjadi penguat hujah di mahkamah peringkat rayuan seterusnya dalam agenda Islam bagi membela agama Allah,” katanya yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Beliau dengan pelbagai badan Islam dari Sekretariat Pembela turut menyampaikan kegusaran umat Islam kepada DBP tentang isu penyalahgunaan kalimah Allah dan tiga istilah Islam lain.

DBP selaku agensi berautoriti kerajaan dalam penyelarasan komponen standard bahasa Melayu ujar beliau, perlu mengambil tindakan proaktif sewajarnya dalam isu itu secepat mungkin.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu memutuskan bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dalam pembelajaran agama atau penerbitan buku agama.

Mereka juga boleh bebas menggunakan perkataan ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘solat’ setelah Hakim Datuk Nor Bee Ariffin memutuskan notis larangan Kementerian Dalam Negeri tidak sah. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN