PETALING JAYA: Polis memburu tiga lelaki dipercayai warga Afrika selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Bulatan Hillview Hulu Kelang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang itu, polis sedang melakukan rondaan dan menahan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Velfire dinaiki mereka berada dalam keadaan mencurigakan.
Bagaimanapun, pemandunya terus memecut ke arah Jalan Ampang sebelum terbabas di tepi jalan ketika menghala ke Lebuhraya Maju Expressway (MEX) Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketiga-tiga lelaki itu kemudian melarikan diri selepas melompat keluar hingga menyebabkan MPV itu jatuh ke dalam longkang.
Katanya, siasatan lanjut mendapati MPV itu didaftar atas penama warga tempatan dan tiada rekod hilang.
“Sebelum itu, anggota polis yang mengejar kenderaan berkenaan memaklumkan kes suspek melarikan diri kepada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk bantuan.
“Kita mendapati MPV itu disewa dari sebuah syarikat sewa kereta di Cheras 2, Balakong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Farouk berkata, pihaknya telah memanggil pemilik kenderaan untuk diambil keterangan.
Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan terbabit turut menemukan beberapa topeng muka hitam dan putih.
“Penglibatan suspek dalam kes jenayah termasuk samun masih disiasat. MPV yang disita itu dibawa ke IPD Ampang Jaya untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke IPD Ampang Jaya bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE