Tiga nelayan hilang bot terbalik dipukul ribut - Utusan Malaysia

Tiga nelayan hilang bot terbalik dipukul ribut

KETUA Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat (kanan) mendengar penerangan misi SAR tiga pencandat sotong hilang selepas bot mereka terbalik dibadai ribut semalam. -UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiga nelayan yang ke laut untuk mencandat sotong dilaporkan hilang apabila bot fiber dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ribut di lokasi kira-kira 16.6 kilometer dari Kuala Besar di sini, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, ketiga-tiga mangsa yang hilang dikenali sebagai Mat Awang, 54; Mat Harun Mohd. Nor, 55, dan Zulshahmi Danial Zulazman, 26.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menerima laporan berkaitan insiden pada pukul 7.12 pagi ini sebelum misi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan KM Amanah digerakkan dengan 24 anggota.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaakub berkata, misi SAR itu turut dibantu pasukan polis bersama anggota bomba dan penyelamat dengan kekuatan 13 anggota.

“Berdasarkan maklumat awal, kesemua mangsa dikatakan keluar ke laut pada pukul 5 petang semalam dari Jeti Kampung Keseng untuk mencandat sotong,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang rakan mangsa ketika ditemui Utusan Malaysia mendakwa dia sempat melempar sauh ke arah bot fiber yang dinaiki ketiga-tiga mangsa sebelum bot mereka terbalik dibadai laut yang bergelora.

Nik Amran Nik Husin, 50, berkata sebelum kejadian, mereka terdiri daripada 15 nelayan turun ke laut pada pukul 5 petang dengan menaiki lima bot berasingan untuk mencandat sotong.

“Saya bersama dua lagi rakan dan bapa saudara sempat berbuka puasa di dalam bot dan solat Maghrib sebelum angin kuat membadai dan laut bergelora menyebabkan kami semua cemas.

“Dengan pantas, saya cuba melemparkan tali sauh ke arah bot mereka bertiga supaya lebih kukuh, namun, gagal dan bot tersebut telah terbalik,” katanya yang tidak mampu berbuat apa-apa kerana hujan lebat selain suasana gelap-gelita.

“Selepas kira-kira sejam terputus hubungan, kesemua bot yang terselamat terpaksa pulang ke daratan untuk meminta bantuan dan kami tiba di jeti pada pukul 1.30 pagi.

“Sebaik tiba di jeti kami terus memaklumkan kepada penduduk kampung mengenai kejadian itu,” katanya yang berpengalaman turun ke laut sebagai nelayan selama 20 tahun. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya