Tiga bot nelayan Vietnam dilupuskan di perairan Gong Balai - Utusan Malaysia

Tiga bot nelayan Vietnam dilupuskan di perairan Gong Balai

ANTARA tiga bot nelayan Vietnam yang ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Gong Balai di Merchang, Marang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Tiga bot nelayan Vietnam yang dilucut hak ditenggelamkan kira-kira 3.6 batu nautika dari perairan Gong Balai di sini hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kesemua bot itu dilucut hak oleh mahkamah pada 2020 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara selepas ditahan dalam Op Kuda Laut.

“Ini merupakan pelupusan ketujuh pada tahun ini dan dijangkakan 40 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah.

“Sehingga kini, sejumlah 102 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu oleh Maritim Malaysia negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin sekali gus menjadi simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia dalam mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.

Muhammad Suffi berkata, program berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Katanya, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan bagi mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu.

Sehubungan itu, orang ramai terutama komuniti maritim digesa melaporkan sebarang maklumat, pelanggaran undang-undang atau kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09- 6224357 (pusat operasi Maritim Malaysia negeri). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya