KUALA TERENGGANU: Seramai 30 peniaga di negeri ini dikompaun sebanyak RM3,150 kerana gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, kesalahan tertinggi membabitkan tiada tanda harga dengan 13 kes diikuti penggunaan alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan (10 kes), tiada tanda harga khas (6 kes) dan menjual melebihi harga maksimum (1 kes).
Katanya, sebanyak 453 premis telah diperiksa sejak pelaksanaan SHMMP dari 21 April lalu hingga kini.
“Sebelum tindakan kompaun ini diambil, teguran dan amaran telah diberikan kepada peniaga, namun masih ada yang ingkar.
“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan demi menjaga hak pengguna dan berlaku adil kepada peniaga yang mematuhi pelaksanaan skim itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Saharuddin mengingatkan para peniaga, pemborong dan penternak agar mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan dan mengamalkan sikap beretika dalam berniaga.
Katanya, menjelang Aidilfitri pada 13 Mei ini, sebanyak 11 jenis barangan telah disenaraikan dalam SHMMP peringkat negeri.