KOTA KINABALU: Permuafakatan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan membawa kepada pertembungan kerusi antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pendirian yang dinyatakan sendiri oleh Pengerusi Perhubungan Umno Sabah itu disanjung tinggi oleh Bersatu.
“Saya juga mengharapkan agar muafakat dalam GRS akan dapat membawa kita untuk bersama memastikan tidak akan ada pertembungan kerusi antara semua rakan-rakan komponen dalam GRS. Saya yakin semangat muafakat GRS akan membawa kita ke arah perpaduan dan semangat kerjasama yang lebih jitu dan padu.
“Kita telah bersama membina kemenangan jadi, marilah kita bersama mengisi dan mempertahankan kemenangan itu. Kekuatan setiap parti komponen GRS akan memperkukuh permuafakatan dalam GRS,” katanya semasa berucap dalam majlis sambutan ulang tahun kedua Bersatu Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, dekat sini semalam.
Turut hadir adalah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib-naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Mohd Rafiq Naizamohiadeen serta Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Hajiji berkata, selaku ketua pimpinan kerajaan negeri, beliau mengharapkan bantuan dan sokongan semua ahli parti bagi membuktikan mandat yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah tidak sesekali disia-siakan.
Menurut beliau, sekarang adalah masa untuk memastikan kerajaan dan politik negeri berada dalam keadaan yang stabil bagi membolehkan kerajaan melaksanakan rancangan pembangunan rakyat.
“Justeru, saya menyeru seluruh barisan kepimpinan yang hadir pada malam ini untuk terus merapatkan barisan dan bersatu padu dalam memperkasa muafakat GRS. Saya ingin mengajak pimpinan Bersatu Sabah untuk memperkukuh muafakat GRS yang dibina oleh pimpinan di peringkat negeri hingga ke peringkat akar umbi.
“Walau kita berada dalam parti politik yang berbeza, tapi hakikatnya kita pernah bersama dalam rumpun yang sama. Muafakat GRS ini akan menjadi pemangkin untuk kita bersatu dalam satu platform kerjasama demi kepentingan rakyat, untuk membina tanah air tercinta yang lebih maju dan berjaya,” katanya.
Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Ahad memberi jaminan bahawa tidak akan ada pertembungan kerusi antara UMNO dan Bersatu dalam PRU-15.
Berlainan dengan situasi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu apabila berlaku pertembungan 17 kerusi antara rakan komponen GRS iaitu BN-UMNO, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).- UTUSAN ONLINE