Tiada pampasan, peniaga mohon budi bicara isu pindah gerai - Utusan Malaysia

Tiada pampasan, peniaga mohon budi bicara isu pindah gerai

AHMAD Din (kiri) dan Mohd. Ridzuan (tengah) menunjukkan notis perobohan gerai di Sungai Layang, Rembau semalam. UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang peniaga hasil kampung di Sungai Layang, di sini, yang sudah berniaga lebih 32 tahun memohon pihak bertanggungjawab untuk bertimbang rasa dalam isu perpindahan gerai di lokasi berkenaan.

Peniaga berkenaan, Ahmad Din, 67, berkata, dia telah diarah untuk berpindah daripada kawasan itu tanpa disediakan terlebih dahulu tapak lain untuk berniaga.

Jelasnya, perkara itu amat dikesali dan menyedihkan memandangkan gerainya itu menjadi lokasi yang menghimpunkan pelbagai hasil tani penduduk setempat yang tidak putus-putus menghantar kepadanya.

“Jika tidak pindah, gerai ini akan dirobohkan dan saya sekeluarga lah yang perlu menanggung kerugian. Sebelum ini, saya berniaga dan memperoleh Lesen Pendudukan Sementara (LPS), namun LPS ini gagal diperbaharui beberapa tahun lalu.

“Tiada pampasan dan juga perjanjian hitam putih kami bakal berpindah ke mana selepas ini. Difahamkan, saya akan berikan kedai bersaiz 10×10 kaki untuk ruang niaga, namun, keluasan ini tidak boleh menampung pelbagai produk hasil kampung,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui dalam sidang akhbar Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) di Sungai Layang, di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, dia dimaklumkan kira-kira sembilan gerai diarahkan berpindah di lokasi berkenaan bagi membolehkan kerja-kerja pelebaran jalan seperti yang diketengahkan oleh sebuah pemaju projek perumahan di kawasan berkenaan.

“Saya mohon pihak bertanggungjawab sediakan surat hitam putih bahawa peniaga ini akan dipindahkan ke mana sebelum gerai dirobohkan dalam tempoh masa beberapa bulan ini. Kalau boleh, biarlah peniaga ini ada tapak kekal yang sesuai dan janganlah bagi saiz reban ayam.

“Sudah dua tahun peniaga diminta keluar, namun, sehingga ke hari ini, masih tiada tapak kekal yang sesuai untuk peniaga berpindah,” katanya.

Menurutnya, sekiranya peniaga terlibat terpaksa berpindah dan gerai dirobohkan tanpa disediakan pampasan serta tapak kekal, pihaknya akan terus mengetengahkan isu berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN