PETALING JAYA: Polis sekali lagi menegaskan tiada layanan istimewa diberikan terhadap ahli perniagaan didakwa memukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa.
Ini susulan artikel memaparkan gambar suspek tanpa gari diiringi anggota yang bertugas ke mahkamah.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek bukanlah dalam tahanan polis ketika dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur untuk tujuan pertuduhan.
Malah katanya, ahli perniagaan itu telah diberi jamin polis sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
“Maka polis tidak boleh menangkap semula dan menggari suspek atas kesalahan yang sama hanya semata-mata untuk tujuan dibawa ke mahkamah.
“Tindakan itu termaktub dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu tiada siapa yang boleh ditangkap atas kesalahan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai suspek tidak memakai baju lokap pula, Mohamad Zainal menjelaskan pihaknya mematuhi prosedur ditetapkan dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara A118.
Ujar beliau, apabila banduan dibawa ke mahkamah hendaklah memakai pakaian dipakai semasa ditahan melainkan pakaian itu dijadikan barang kes.
“Orang ramai digesa tidak memanipulasi isu berkenaan sehingga boleh menyebabkan salah faham, kekeliruan dan memberi gambaran tidak tepat sehingga menjejaskan reputasi serta imej polis,” katanya.
Sebelum ini, polis menafikan dakwaan layanan istimewa terhadap suspek yang meminta maaf ketika di IPD Dang Wangi.
Mohamad Zainal berkata, permohonan itu dibuat ketika suspek sedang dibawa polis untuk mendapatkan reman di IPD Klang Selatan.
Jumaat lalu, majikan yang ditahan dipercayai memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya dengan menggunakan pistol dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Chung Chee Yang, 43, yang hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja-T biru dan seluar putih, didakwa atas empat pertuduhan mencederakan kedua-dua mangsa yang kini bekas pekerjanya.- UTUSAN ONLINE