Tiada lagi kemeriahan berbuka puasa bersama keluarga di padang MBK 1 - Utusan Malaysia

Tiada lagi kemeriahan berbuka puasa bersama keluarga di padang MBK 1

ADB. RAHIM MUDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tahun-tahun sebelum ini, padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 berhadapan Masjid Sultan Ahmad I, di sini pasti menjadi pilihan umat Islam berbuka puasa beramai-ramai.

Ratusan orang mula memenuhi padang itu seawal pukul 5 petang dan suasana sedemikian bukan sahaja meriah tetapi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sekali gus perpaduan kaum di negara ini.

Selain itu, berbuka puasa di padang MBK 1 juga merupakan tradisi tahunan pasangan diraja, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Namun pada tahun ini, acara tahunan pasangan diraja terbabit serta rakyat di negeri ini tidak dapat diadakan selepas kerajaan negeri tidak membenarkan sebarang aktiviti berbuka puasa di padang MBK 1 sepanjang Ramadan, ekoran pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd. Rahim Muda berkata, keputusan itu bagi mengawal penularan Covid-19 sekali gus mengelak berlakunya kluster baharu.

“Kita tahu setiap kali bulan Ramadan padang MBK 1 menjadi tumpuan orang ramai untuk berbuka secara bersantai bersama keluarga.

“Jadi, kita harap orang ramai dapat patuhi arahan ditetapkan. Keputusan ini untuk kepentingan bersama,” katanya di sini semalam.

Berhubung jumlah peniaga bazar Ramadan di seluruh Pahang tahun ini, Abd. Rahim berkata, seramai 1,836 orang dibenarkan berniaga di 58 lokasi.

Beliau berkata, MBK merekodkan jumlah peniaga paling ramai iaitu 885 orang membabitkan 25 lokasi.

“Semua peniaga diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter, pemeriksaan suhu dan kebersihan gerai.

“Peniaga diwajibkan menutup makanan sepanjang masa dan dilarang menggunakan bekas bungkusan makanan daripada styrofoam.

“Namun, peniaga dibenarkan menggunakan kertas pembungkus khas atau pembungkus plastik High-Density Polyethylene (HDPE),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN