KUALA LUMPUR: Solat sunat tarawih di Masjid Jamek Kampung Baru dekat sini tidak lagi menggunakan khidmat imam jemputan atau imam luar.
Imam, Muhamad Ainul Hafiz Abu Hassan, 29, berkata, para jemaah akan berasakan kelainan daripada kebiasaan berikutan pandemik Covid-19 tahun ini.
Katanya, sememangnya tradisi masjid itu adalah menggunakan khidmat imam luar bagi mengetuai solat tarawih namun tidak pada Ramadan kali ini.
“Tahun ini, kita gunakan khidmat anak tempatan. Dua imam masjid sendiri dan seorang pendidik (dalam kalangan penduduk kampung).
“Kalau jemput orang luar, kos akan lebih besar selain halangan rentas sempadan akibat Covid-19. Lagi pun, kita lebih seronok dengan anak tempatan, seronok dengan anak kampung sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Baru di sini semalam.
Masjid Jamek Kampung Baru terletak di Jalan Raja Alang, Kampung Baru.
Muhamad Ainul Hafiz berkata, pihak masjid juga tidak lagi menyediakan moreh seperti mana kebiasaan pada Ramadan kali ini.
“Majlis agama tidak membenarkan makan di masjid, tetapi jika ada yang menyumbang, kita hanya sediakan dalam bentuk bungkus,” katanya.
Beliau ketika ditanya mengenai kehadiran jemaah untuk menunaikan solat tarawih kelmarin berkata, sambutan dalam kalangan jemaah berhampiran masih kurang.
Katanya, perkara itu mungkin disebabkan jemaah masih lagi bimbang dengan penularan Covid-19.
“Selalunya, kalau malam pertama Ramadan, jumlah jemaah adalah lebih kurang solat Jumaat sebelum pandemik Covid-19, tetapi kali ini cukup berbeza. Mungkin hari-hari lain akan ada pertambahan jemaah. Insya-Allah.
“Kita harap tahun ini para jemaah dapat datang ramai-ramai dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP). Tahun lepas, kita tidak dapat tunaikan ibadat tarawih, tahun ini, kita kena ambil peluang,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Masjid Jamek Kampung Baru, Mohalim Isman, 65, berkata, kapasiti jemaah dengan pematuhan SOP hanya boleh memuatkan satu pertiga masjid.