IPOH: Jabatan Kesihatan negeri menafikan dakwaan tular dalam media sosial bahawa terdapat kematian seorang anggota polis di Gerik disebabkan komplikasi dos kedua vaksin Covid-19.
Pengarahnya, Datuk Dr. Ding Lay Ming bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan hanya menyatakan ia adalah berita palsu.
“Berita palsu,” ujar beliau ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood ketika dihubungi turut menafikan mesej tular tersebut.
Katanya, anggota terbabit kini menerima rawatan di Hospital Gerik namun enggan mendedahkan penyakit yang dihidapi lelaki itu.
“Mesej tular itu tidak benar. Tiada kematian membabitkan anggota disebabkan komplikasi vaksin,” katanya.
Tular dalam media sosial kononnya seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 58 tahun yang bertugas di Lawin, Gerik meninggal dunia akibat komplikasi dos kedua vaksin Covid-19. – UTUSAN ONLINE