Tiada aduan rasmi kenaikan harga minyak masak 5kg - Utusan Malaysia

Tiada aduan rasmi kenaikan harga minyak masak 5kg

DUA pegawai penguat kuasa PPDNHEP menjalankan pemeriksaan harga minyak masak botol dalam operasi pemantauan harga di sebuah pasar raya di Bayan Lepas, Pulau Pinang. -UTUSAN/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri tidak menerima aduan secara rasmi daripada pengguna berhubung kenaikan harga minyak masak untuk botol seberat lima kilogram (kg).

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab Ghapar berkata, daripada maklumat menerusi aplikasi pemeriksa harga (price catcher) setakat ini, harga minyak masak untuk botol seberat lima kg adalah sekitar RM25 hingga RM28.

“Bagaimanapun, kita akan terus memantau dan mengambil tindakan sekiranya berlaku kenaikan harga,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 di Pasar Raya Mydin Bukit Jambul, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan mengenai kenaikan harga minyak masak sehingga melepasi RM30 untuk botol seberat lima kg.

Kenaikan itu dikesan bermula awal tahun ini, namun, semakin ketara ketika menjelang Ramadan dan dijangka berlarutan sepanjang sambutan Aidilfitri.

Menurut beliau, bekalan barangan keperluan untuk musim perayaan termasuk minyak masak adalah dijamin mencukupi untuk pengguna di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, seramai 14 peniaga daging lembu telah diberi amaran akhir kerana didapati masih menjual daging lembu tempatan pada harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan.

“Selepas ini, jika didapati mereka masih ingkar, tindakan akan terus diambil tanpa diberi notis amaran lagi,” katanya.

Tambahnya, satu tindakan kes juga diambil terhadap peniaga ayam serta 14 notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 kepada peniaga bagi ops rantaian ayam.

Sementara itu, katanya, peniaga tidak mempunyai alasan untuk menaikkan harga barangan di bawah SHMMP memandangkan penentuan harga maksimum pengeluar, pemborong dan peruncit dilaksanakan mengikut kesesuaian harga pasaran semasa.

“Malah, ia juga dibuat mengikut faktor perubahan harga khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN