Teruja kembali ke sekolah - Utusan Malaysia

Teruja kembali ke sekolah

PARA PELAJAR sekolah memakai pelitup muka ketika memasuki perkarangan sekolah pada hari pertama sesi persekolahan 2021 dibuka semula di SMK Aminuddin Baki, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Saya sangat gembira dan teruja apabila dapat kembali semula ke sekolah,” kata pelajar tingkatan 1, Abhiram Baburaj, sebaik melangkah masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini.

Pelajar berusia 13 tahun itu antara 998 pelajar yang memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka sejak awal tahun ini berikutan penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Abhiram, dia sangat gembira dapat memasuki SMK Sultan Ismail apatah lagi dapat belajar bersama rakan-rakan baharu dengan lebih selesa berbanding ketika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Seorang lagi pelajar, Nurin Aqilah Balqis Mohd. Nizam, 15, sangat teruja dan berharap pandemik Covid-19 dapat berakhir dengan segera.

“Saya datang seawal pukul 6.45 pagi dihantar oleh bapa dengan menaiki motosikal, saya sentiasa akan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dengan memeriksa suhu sebelum datang ke sekolah serta mencuci tangan dengan menggunakan cecair pembasmi kuman terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Sekretariat dan Focal Person Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (KPIBKS) Negeri Johor, Datuk Yahya Jaafar berkata, persediaan pihak sekolah bagi menerima semua pelajar ke sekolah telah diatur sejak awal lagi.

“Semua SOP dengan mengimbas suhu pelajar dan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman diberikan kepada pelajar sebaik memasuki perkarangan sekolah.

“Kita tiada masalah untuk mengadakan SOP kerana pengalaman ketika pembukaan sekolah rendah pada awal Mac lalu telah mengajar cara dengan lebih efisen mengatasi masalah kemasukan pelajar,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap ibu bapa sentiasa peka dengan kesihatan kerana ditakuti sekiranya ibu bapa atau penjaga mengalami gejala kemungkinan menjangkiti anak-anak mereka dan menular ke sekolah.

Yahya berkata, proses penerimaan pelajar sekolah menengah pada kali ini berjalan dengan lancar berikutan maklum balas positif di peringkat sekolah terdahulu.

“Tidak akan ada masalah jika SOP dipatuhi dan pelajar menerima dengan baik.

“Pihak sekolah juga menambah baik dengan menjaga penjarakan fizikal, daripada segi penyediaan makanan di kantin pun dipatuhi, selain laluan khas pelajar disediakan supaya tiada berkeliaran dan mengikut garis panduan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya