Terpaksa jual lepas harga SHMMP - Utusan Malaysia

Terpaksa jual lepas harga SHMMP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun ramai terpaksa patuh dengan harga ditetapkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021, masih terdapat peniaga yang menjual barangan keperluan melebihi harga ditetapkan.

Sebagai contoh, seorang peniaga daging di Pasar Ampangan, dekat sini yang masih menjualnya pada harga RM38 sekilogram walaupun harga mengikut SHMMP 2021 adalah RM34 setiap kilogram.

Bagaimanapun, menurut peniaga itu, Mohd. Shahari Hashim, 48, dia terpaksa menjual daging pada harga tersebut memandangkan harga yang diperolehnya daripada pembekal daging juga sudah tinggi.

Dia yang sudah lebih 20 tahun berniaga juga melahirkan rasa kecewa dan menyifatkan tempoh pelaksanaan SHMMP selama 30 hari begitu lama sekali gus menindas golongan peniaga kecil sepertinya,.

“Saya sudah menjual daging dengan harga RM38 sekilogram sejak sebulan lalu kerana pembekal daging juga telah menaikkan harga. Pada harga RM38 bolehlah kami meraih untung sedikit, namun jika ditetapkan pada harga RM34 memang kami tidak boleh menjual.

“Memang tidak berbaloi untuk menjual pada harga tersebut, saya rasa esok saya sudah tidak berniaga di sini. Saya akan melapah dan memotong daging di rumah sahaja dan menghantar terus kepada pelanggan, tadi ada pegawai KPDNHEP datang dan memberitahu jika saya menutup kedai, mereka akan menarik lesen berniaga saya, apa lagi saya boleh buat?” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini mengumumkan 12 jenis barangan bawah SHMMP 2021 yang bermula semalam.

Senarai barang yang diumumkan dalam SHMMP 2021 itu termasuk ayam, telur ayam, daging serta ikan tongkol, selayang, kembung dan mabung.

Skim harga itu dilaksanakan sebagai langkah menyekat kenaikan harga keperluan ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Seorang peniaga ayam, Alizan Tambi, 50, pula berkata, penetapan harga ayam standard iaitu RM7.90 bagi setiap sekilogram menerusi SHMMP disifatkannya sebagai tidak munasabah.

“Kami telah dapat harga ayam dari pembekal juga sudah tinggi tetapi mereka minta kami jual pada harga RM7.90 dan ia berlangsung selama sebulan, tidak pernah terjadi skim harga berlangsung selama ini, ia betul-betul menindas golongan peniaga.

“Tidak ada untung bagi saya jika jual ayam pada harga tersebut kerana saya perlu menanggung banyak kos lain termasuk gaji pekerja. Sebelum ini, saya ada juga menjual ayam hidup namun apabila ia ditetapkan pada harga RM6.80 sekilogram, saya tidak jual lagi, tidak berbaloi,” katanya.

Menurut Alizan lagi, setiap kali berlaku kenaikan harga barangan, golongan peniaga selalu menjadi mangsa sedangkan baginya kerajaan perlu mencari punca kenapa ia berlaku.

“Saya faham, pelaksanaan SHMMP bagi meringkankan beban rakyat, tetapi golongan peniaga juga adalah rakyat. Cuba pihak berwajib lihat masalah ini diperingkat pemborong dan orang tengah.

“Jika alasan harga ayam naik kerana harga dedak ayam sudah meningkat, wajarlah kerajaan melakukan inisiatif dengan memberikan subsidi makanan ternakan kepada penternak supaya harga boleh stabil,” katanya lagi.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati harga barang lain yang termasuk dalam SHMMP 2021 telah dijual di pasar itu pada harga yang telah ditetapkan oleh KPDNHEP.

Di pasar-pasar awam utama di daerah ini, tinjauan mendapati peniaga-peniaga yang terlibat dalam telah meletakkan harga maksimum seperti yang ditetapkan dalam skim harga tersebut.

Sebagai contoh, di Pasar Ampangan dan Pasar Besar Seremban mendapati peniaga ayam meletakkan harga jualan mereka pada paras RM7.90 bagi setiap sekilogram.

Begitu juga bagi harga ikan selayang dan kembung, tinjauan mendapati peniaga tidak menjual melebihi pada harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM12 dan RM5 sekilogram.

Daging lembu tempatan juga dijual pada harga RM34 sekilogram seperti ditetapkan bagaimanapun di Pasar Ampangan masih terdapat peniaga yang menjual pada harga RM38 sekilogram. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya