Terowong pertama ECRL di Paka 98.5 peratus siap - Utusan Malaysia

Terowong pertama ECRL di Paka 98.5 peratus siap

MOHD. Zuki Ali menyempurnakan letupan terakhir di Terowong Paka di Dungun. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melakar satu lagi sejarah dengan penembusan terowong pertama di Paka sepanjang 1.1 kilometer di sini hari ini.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, kerja-kerja penggalian bagi terowong Paka yang merupakan antara 59 terowong dalam projek mega berkenaan kini telah mencapai kemajuan sebanyak 98.5 peratus.

Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk penangguhan kerja-kerja pembinaan selama sembilan bulan, namun penembusan terowong berkenaan berjaya dilakukan enam bulan lebih awal daripada jadual asal.

“Sesuatu yang boleh dibanggakan kerana terowong Paka mendahului jadual enam bulan lebih awal sekali gus membuktikan kerjasama erat dan kesungguhan ECRL memastikan projek berjalan seperti dirancang.

“Pencapaian ini hasil kerja-kerja penggalian dalam tempoh 620,000 jam,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan letupan terakhir di terowong Paka.

Selain terowong Paka, dua lagi terowong yang dibina di Terengganu ialah terowong Dungun di Bukit Bauk dan terowong Kuantan yang turut melalui kawasan Jabor di Kemaman.

Mohd. Zuki berkata, terowong Paka yang setinggi 11.8 meter dan 12.9 meter lebar dibina untuk mengelak penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan di persisiran Paka.

Sementara itu katanya, terowong kedua di Terengganu dijangka membuat penembusan pada pertengahan Jun ini.

“Projek ECRL kini giat dijalankan dengan pembinaan beberapa lagi terowong sepanjang 14.9 kilometer di Seksyen B (Dungun-Mentakab).

“Kebanyakan terowong-terowong itu telah mencapai tahap kemajuan optimum bagi kerja-kerja penggalian dan seterusnya membantu meningkatkan tahap kemajuan keseluruhan projek yang kini mencapai 21.39 peratus pada Mac lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya