KUALA LANGAT: Kerajaan perlu meneliti secara terperinci isu perundangan sampingan berkaitan kelayakan mengundi pada pilihan raya umum di usia 18 tahun.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, perkara itu adalah isu utama yang perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum dilaksanakan sepenuhnya.
Kata beliau, jawatan kuasa yang melunaskan Undi18 dua tahun lalu berkemungkinan sudah tertinggal sesuatu asas iaitu peraturan dan undang-undang sampingannya.
“Saya berasakan bahawa tiada prasarana menerusi undang-undang pilihan raya disediakan ketika ini. Isu mengenai keberkesan, faedah dan risikonya soal lain kerana itu adalah soal politik.
“Soal undang-undang yang perlu diutamakan terlebih dulu dan saya akan pandang berat perkara ini selagi peringkat di prasarana berkenaan belum diselesaikan,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong bersama sukarelawan Yayasan Budi dan Orang Asli di Perkampungan Budaya Mah Meri di Pulau Carey di sini, hari ini.
Beliau mengulas cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengasingkan proses hak mengundi kepada mereka yang berusia 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharap melaksanakan usaha itu dengan segala formula dan ruang yang ada kerana semua anggota Kabinet menyokong Undi18.
Mengulas lanjut, Rais berkata, cadangan itu mungkin dianggap mudah namun perlu mempunyai pendirian realiti mengenai undang-undang. – UTUSAN ONLINE