Tangkapan ke-19, Maritim Malaysia komited banteras aktiviti bersauh tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Tangkapan ke-19, Maritim Malaysia komited banteras aktiviti bersauh tanpa kebenaran

KAPAL tangki yang berdaftar di Torre Del Greco, Itali ditahan Maritim Malaysia kerana berlabuh tanpa kebenaran di timur Tanjung Penawar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor terus komited membanteras aktiviti bersauh tanpa kebenaran melalui penahanan sebuah lagi kapal tangki di timur Tanjung Penawar pada pukul 2.45 petang, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal yang berdaftar di Torre Del Greco, Itali itu merupakan tangkapan ke-19 sejak Op Jangkar Haram dilaksanakan bermula 24 Mac lalu.

“Berikutan kejayaan Op Jangkar Haram minggu lepas, Maritim Negeri Johor meneruskan lagi operasi dengan memantau rapat aktiviti berlabuh tanpa kebenaran dan telah menahan sebuah kapal tangki pada kedudukan 12.6 batu nautika timur Tanjung Penawar.

“Pemeriksaan mendapati kapal tangki berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa pemakluman atau kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, ‘master’ dan ‘chief officer’ kapal tersebut telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

Katanya, sekiranya didapati bersalah pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jumlah keseluruhan penahanan setakat ini bagi tahun 2021 adalah sebanyak 37 buah kapal. Maritim Malaysia amat serius dan akan terus mempergiatkan lagi usaha bagi membanteras aktiviti bersauh tanpa kebenaran ini.

“Maritim Malaysia juga menasihatkan kepada semua ejen-ejen kapal dan juga komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Sebarang jenayah dan kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya